Tuesday 27 December 2011

Filem Tidak Ditapis: Kerajaan Malaysia Jangan Bersikap Lepas Tangan


Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam telah menyatakan bahawa Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak lagi akan menapis filem sebelum ditayangkan, tetapi ia diserahkan sepenuhnya kapada pengarah dan penerbit filem itu sendiri. Hal ini berdasarkan kenyataan beliau di akhbar Sinar pada 22 Disember yang lalu. Dalam kenyataan tersebut, beliau menyatakan bahawa langkah terbaru itu diambil selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang menjayakan industri perfileman negara. Bagaimanapun katanya, jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah filem yang ditayangkan, maka penerbit dan pengarah filem berkenaan perlu bertanggungjawab.

Respon PMUKM

PMUKM melalui Pengerusi Biro Sukan dan Kebudayaannya, Muhammad Harith menyifatkan tindakan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk tidak lagi menapis filem-filem yang ingin ditayangkan adalah tidak wajar dan tidak tepat pada kondisi akhlak anak-anak muda yang membinmbangkan ketika ini.

“Saya mewakili pihak PMUKM dan warga UKM amnya, secara totalnya menolak langkah terbaru daripada LPF untuk tidak menapis filem-filem baru dan kami mendesak supaya LPF menarik balik langkah tersebut bagi mengelakkan pengaruh-pengaruh negatif daripada terus menular. Apa jaminan daripada LPF bahawa pengarah dan penerbit filem akan mempunyai sikap bertanggungawab dalam apa yang telah dipertontonkan? Sedangkan asbab utama mereka hanya meraih keuntungan daripada filem yang ditayangkan. Tatkala moral dan akhlak masyarakat terutama anak muda  yang semakin kritikal, keputusan ini seolah-olah mencurahkan minyak kedalam api dan kerajaan Malaysia amnya tidak boleh bersikap lepas tangan tentang perkara ini” katanya

Beliau juga berkata, pihak PMUKM melihat kesan jangka masa panjang terhadap masyarakat terutamanya aspek nilai kehidupan murni, moral dan keagamaan. Sehubungan itu, pihak PMUKM sekali lagi menyatakan pendirian supaya keputusan ini dikaji semula oleh pihak LPF dan Kerajaan Malaysia amnya bagi melahirkan bangsa Malaysia yang lebih baik pada masa akan datang.

“Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti”

Saturday 5 November 2011

Seksualiti Merdeka: Perlunya Tafsiran Yang Tepat Soal Hak Asasi dan Kebebasan


Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar petang Khamis yang lalu mengumumkan semua aktiviti berkaitan dengan festival berkenaan yang bakal dilancar oleh bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan pada 9 November ini diharamkan. Bercakap dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur beliau mengarahkan penganjur menghentikan serta merta semua program mereka yang berkaitan dengannya atau berdepan tindakan polis.


Saya sangat bersetuju dengan tindakan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Malaysian terutama pihak Polis Diraja Malaysia(PDRM) bagi mengharamkan penganjuran Seksualiti Merdeka ini. Setelah bantahan daripada NGO-NGO, Jabatan Agama dan majoriti rakyat Malaysia terutamanya, adalah wajar bagi festival ini tidak diteruskan. Penulisan ini ingin saya bawakan hujah dan pandangan mengenai bantahan terhadap festival ini:


1. Antara hujah yang dikemukakan oleh penganjur Seksualiti Merdeka ini adalah mereka merujuk artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan berhimpun, hak bersuara dan sebagainya. Tetapi harus kita lihat pada limitasi agama dan sensitiviti rakyat Malaysia terutama masyarkat melayu amnya tentang budaya lesbian, gay dan perkara songsang yang lain.


2. Perkara lain yang dibangkitkan adalah mereka daripada golongan yang minority dimana suara mereka harus diberikan perhatian oleh umum dan kerajaan khasnya. Namun harus kita fikirkan bahawasanya adakah kita mahukan golongan yang minority ini menjadi golongan yang majority?dan jika ia menjadi reality, adakah ia akan membawa manfaat yang baik dan penyelesaian masalah social yang semakin meruncing dengan kebebasan ini? Fikir-fikirkan…


3. Islam juga mengawal kebebasan seksual bagi menjaga kehormatan keturunan dan ketamadunan manusiawi. Kisah umat Nabi Lut a.s yang diturunkan Allah bala akibat perbuatan songsang mereka boleh dijadikan peringatan untuk kita umat akhir zaman ini seperti apa yang disebut dalam hadis “Dari Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhuma, dia berkata bahwa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda “Ertinya : Allah melaknat siapa saja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (beliau mengulanginya sebanyak tiga kali)” [HR Nasa'i dalam As-Sunan Al-Kubra IV/322 No. 7337]”


4. Ini bukan soal Ambiga. Ini bukan soal Marina Mahathir. Kita perlu sedar bahawa rakyat Malaysia menyokong BERSIH 2.0 bukan kerana dua individu ini tetapi tuntutan yang diperjuangkan oleh BERSIH 2.0 untuk pilihan raya yang adil dan telus. Tetapi jika persoalan dalam situasi ini yang membawakan mudarat yang besar kepada generasi Malaysia dan umat Islam khasnya, mengapa harus kita sokong? Bukan siapa yang menjadi persoalannya, tetapi agenda yang patut dipersoalkan.


5. Saya bagi satu analogi mudah jika hujah hak asasi dan kebebasan yang penganjur tekankan. Jika perogol ingin merogol seorang perempuan, adakah hujah hak asasi dan kebebasan “menguruskan” nafsu boleh dijadikan asbab untuk melakukan perkara tersebut(merogol)?sama juga denga pencuri, perasuah dan sebagainya. Saya melihat penganjur seolah-olah membuat tafsiran dan kefahaman sendiri mengenai hak asasi dan kebebasan yang mereka pertahankan.


Justeru itu, penafsiran berkaitan hak asasi dan kebebasan yang betul adalah sangat perlu bagi mengelakkan isu seperti ini berlaku. Seperti kata peribahasa “sudah terantuk baru terngadah”, sudah menjadi barah baru hendak diubati maka ia sudah terlambat. Akhir kata, kembalilah kepada Islam dan laksanakanlah hukum-hukum yang terdapat didalamnya. Wallahualam….



Friday 16 September 2011

PRESIDEN PMUKM : Memaknai Hari Malaysia - 16 September

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan Salam Hari Malaysia

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Illahi, kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat menyambut Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia esok dengan penuh kebanggaan.

MEMAKNAI HARI MALAYSIA
Tanggal 16 September 1963, telah terbentuk sebuah negara baru di peta dunia yang diberi nama ‘Malaysia’ ; hasil gabungan negeri-negeri Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Bertitik mula daripada pembentukan Malaysia yang berdaulat, kini negara kita pesat membangun dan telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai salah sebuah negara yang maju di kalangan negara-negara membangun.

Kemerdekaan yang disambut juga seharusnya bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang dan menyertai perarakan Merdeka.

Kemerdekaan yang diburu adalah kebebasan hati dan minda. Seharusnya masyarakat dididik dan dipupuk untuk melahirkan jiwa yang merdeka. Ia juga harus dihadami dan merangkumi segala aspek kehidupan, politik, ekonomi, moral dan masyarakat.

Maka dengan itu, marilah kita bersama-sama memaknai Hari Malaysia ini dengan memerdekakan sepenuh jiwa kita dari cengkaman dan kezaliman warisan penjajah demi membina negara yang aman harmoni antara semua bangsa.

INTERGRITI ASAS PEMBENTUKAN NEGARA BERDAULAT
Agenda integriti yang digariskan di dalam Pelan Integriti Nasional (PIN) pada 23 April 2004 dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 4 Mac 2004 secara signifikannya menggambarkan usaha serius kerajaan untuk membentuk nilai integriti di peringkat akar umbi pentadbiran.

Dua prinsip asas nilai integriti untuk para pentadbir dan kakitangan awam capai ialah pemantapan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan tadbir urus terbaik, dan peningkatan integriti institusi pentadbiran jabatan masing-masing.

Integriti secara umumnya merujuk kepada kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Integriti berkaitan rapat dengan etika. Dalam konteks semasa, integriti berlandaskan etika dalam tindakan sehari-hari.

Budaya etika dan integriti yang giat dipromosikan di segenap peringkat pentadbiran kakitangan awam adalah selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.

Seruan kepada semua pihak khususnya bagi warga Universiti tidak kira di peringkat mahasiswa ataupun kakitangan Universiti bersama-sama menyahut pembudayaan integriti dan menyemai di peringkat urus tadbir kerja kita seharian.

APLIKASI NILAI-NILAI TERAS INTEGRITI AKADEMIK
Di kesempatan ini juga suka untuk saya tekankan kembali enam (6) Nilai Teras Integriti Akademik yang terkandung di dalam Garis Panduan Integriti Akademik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia; yang wajar diberi perhatian oleh semua pihak khususnya yang berada di bidang akademik di bumi perbukitan ilmu di UKM, iaitu:

(i) Amanah - Amanah merujuk kepada kesungguhan ahli akademik dalam memenuhi kepercayaan, kewajipan dan tanggungjawab yang diberikan. Amanah akademik merangkumi peningakatan ilmu, penyampaian yang berkesan, dan memberi khidmat serta pandangan tanpa rasa takut atau mengharapkan pujian. Ahli akademik melaksanakan tugas dengan tanggungjawab dan menghayati skop kerja serta komited terhadap tuntutannya. Ahli akademik juga tidak terlibat dalam rasuah dan tidak menyalahguna kuasa.

(ii) Bijaksana – Identiti ahli akademik yang cemerlang tergambar menerusi kebijaksanaannya dapat menggunakan akal budi dalam menjalankan tugas agar matlamat tercapai. Ia terangkai daripada pengalaman, ilmu dan kemahiran yang menjadikan ahli akademik itu seorang budiman.

(iii) Akauntabiliti - Ahli akademik berupaya dan bersedia dipertanggungjawabkan di atas semua tindakannya dengan penjelasan dan justifikasi yang rasional dan objektif.

(iv) Hormat – Konsep ‘Hormat’ itu menerima kepelbagaian sudut pandangan dan menghargai semua bentuk sumbangan yang mempertingkat kualiti akademik. Berbahasa dan kesopanan ditekankan dalam sebarang hubungan kerja, tanpa mengira status, umur dan gender.

(v) Telus - Tidak ada tindakan akademik yang perlu disembunyikan daripada pihak berkepentingan (stakeholders). Setiap keputusan yang dicapai adalah menerusi proses yang jelas strukturnya dan dapat dibuktikan kesahihannya.

(vi) Adil - Ahli akademik tidak wajar berprasangka, tidak berat sebelah dan tidak memilih kasih dalam menjalankan tugas.Ahli akademik juga wajar membahagikan masa dan prihatin serta secara wajar dan sesuai kepada semua yang memerlukan kepakarannya.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI
Barisan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) pada sesi kali ini komited untuk bersama-sama mahasiswa UKM dalam menjaya dan merealisasi visi, misi dan wawasan UKM. Berlandaskan Falsafah UKM yang telah menyebut  “Paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti” , maka gagasan ‘Realisasi Varsiti’ dilihat selari dengan pembawakan penghayatan Falsafah UKM.

Berteraskan intisari paduan ILMU,IMAN dan AMAL , pembawakan PMUKM sesi ini juga dilihat semakin mendapat respon yang baik di kalangan kakitangan Universiti dan mahasiswa UKM sendiri.

Manakala sikap kebersamaan di kalangan mahasiswa dalam merealisasi dan menjayakan visi, misi dan gagasan varsiti juga dilihat bakal menjadi kunci kepada kejayaan mahasiswa. Usaha-usaha yang dilakukan oleh PMUKM sebagai badan induk persatuan mahasiswa dilihat tidak akan mendatangkan hasil sekiranya ada pihak-pihak yang tidak memberi kerjasama dalam menyokong dan mendokong aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Justeru di kesempatan sempena Hari Malaysia ini, saya sekali lagi selaku Presiden Persatuan Mahasiswa UKM sesi 2010-2011 ingin menyeru rakan-rakan bersama-sama menghayati erti sebenar Hari Kemerdekaan.

Semoga ulang tahun kemerdekaan dan hari Malaysia ini bakal membawa makna yang mendalam kepada semua warga kampus dan juga rakyat Malaysia amnya.

Selamat Hari Malaysia.


LT M Ahmad Muzzammil bin Muhd Hairi
Presiden 
Persatuan Mahasiswa UKM
Sesi 2010-2011

Thursday 2 June 2011

Seks, Dadah & Alkohol: Gaya Hidup Baru Masyarakat Malaysia

Mengecapi arus kemodenan semasa dan diiringi perubahan gaya hidup yang kian ‘sofistikated’ tidak memungkinkan masyarakat untuk terus berada di takuk lama dalam kehidupan seharian mereka. Kesedaran terhadap keadaan semasa dan sifat keterbukaan terhadap perkara-perkara yang sebelum ini dipandang asing, dianggap sebagai suatu kemajuan yang perlu diwujudkan dalam diri setiap individu. Namun begitu, perubahan fasa yang bagaimana harus dijadikan panduan seantero masyarakat Malaysia?


Menyentuh mengenai gejala sosial yang kian sumbang dek kerana mahukan ‘sesuatu yang baru’ dan bersikap ‘open minded’ maka terhasillah kepercayaan bahawa perkara-perkara yang sebelum ini dianggap janggal perlu diterima pakai oleh kita semua. Tak perlu dilihat jauh-jauh untuk mengenalpasti penyakit yang sedang melanda masyarakat kita hari ini kerana sedar mahupun tidak, seks, dadah dan alkohol semakin hari semakin rancak mendominasi ruang lingkup pemikiran sekaligus meraih perhatian masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa!




Berbekalkan tiga ‘perkara asas’ ini sahaja sudah cukup untuk memporak perandakan kerukunan yang sedia ada lantas mengheret kepada permasalahan yang lebih serius dalam masyarakat. Gaya hidup moden atau up-to-date menjadikan kita lebih terbuka untuk berbicara tentang seks sekaligus mengaplikasikannya ke dalam realiti kehidupan sebenar. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan bilamana perkataan dan perlakuan seks itu dilakukan oleh mereka yang masih berada dibangku sekolah! Buktinya, berapa ramai anak gadis dan anak teruna yang terjebak dengan seks bebas dan bertukar-tukar pasangan dek hasutan hawa nafsu dan didorongi sifat suka sama suka! Bila seks dah jadi perkara biasa, maka yang lain-lain ‘lagi tok sah kata!’


Berbicara pula tentang dadah, ia boleh dikategorikan sebagai isu lapuk yang takkan ada penghujung. Musuh nombor satu negara ini dilihat sebagai ancaman utama yang mengheret kepada cabang masalah sosial yang lain. Isu penyalahgunaan dadah telah memerangkap banyak manusia ke sisi hitam laluan hidup mereka. Bermula dengan suka-suka atau alasan mahu membebaskan diri daripada belenggu ‘problema’ yang dihadapi akhirnya telah menjadikan individu-individu ini terlibat dengan tahap ketagihan yang serius sehingga digelar ‘Mat Pet’ atau ‘Sampah Masyarakat’!


Seterusnya, minuman alkohol mungkin dianggap perkara paling remeh dan terlalu biasa serta tidak mendatangkan mudarat kepada masyarakat secara kasar. Sebagai contoh, gambar panas atau filem panas artis yang berpesta sakan dengan botol minuman alkohol berlambak sana sini sekaligus telah membuktikan keterbukaan mereka terhadap gaya hidup masa kini. Persoalannya, apa perlunya menunjuk-nunjuk perilaku yang sebegitu rupa? Apa yang cuba disampaikan kepada masyarakat? Adakah mabuk-mabuk atau berada dalam keadaan separuh sedar itu perlu dijadikan fenomena semasa? Sebetulnya, bukan artis sahaja yang terdedah dengan kegiatan yang kurang sihat ini. Orang biasa-biasa lagi berlambak, cuma sebab mereka tak punya tiket sebagai artis maka terlepaslah mereka daripada cakap-cakap negatif!

Ada juga yang berpendapat bahawa mereka yang mengasingkan diri daripada tiga perkara ini sebagai individu yang kolot dan berlagak baik. Hakikatnya tanpa mereka sedari secara perlahan-lahan tiga perkara utama ini akan ‘memakan diri’. Harus diingat bahawa bertukar pasangan sesuka hati, ambil pil dadah untuk menghilangkan tekanan jiwa dan meneguk minuman alkohol demi kepuasan hati, hanyalah keseronokan sementara dan jalan singkat untuk ke ‘syurga’ dunia!


Kepada yang dah dewasa, anda boleh fikir sendiri rasional dan buruk baiknya perkara-perkara di atas. Namun bagi mereka yang masih setahun jagung, bimbingan dan nasihat individu tertentu amatlah digalakkkan. Pihak yang bertanggungjawab tak kiralah, kerajaan ke, ibu bapa ke, guru ke, haruslah bertindak dan mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan yang membuka peluang luas kepada berlakunya pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan ketagih seks, dadah dan alkohol.


Bukan persoalan siapa jahat dan siapa baik yang harus jadi pertikaian, namun sejauh mana kita menyedari dan meletakkan diri di laluan sebenar dalam kehidupan. Tak kiralah kita datang daripada keluarga yang punya didikan agama yang kukuh atau tidak kerana apa yang menjadi pokok pangkalnya ialah diri kita sendiri. Dasar langit terbuka dan kemajuan negara barat memang wajar kita teladani, namun bukan serba serbi harus dikuti. akhir kata..


PASAKKAN HATIMU KE JALAN YANG DIREDHAINYA..........



sumber: Malaysiandigest.com

Sunday 27 March 2011

Ziarah Saudara Arrabe' di Hospital Kajang


Pada 23 Mac 2011 yang lalu MPP Mohd Izzuddin bin Mohd Pisol dan Muhammad Harith telah menziarahi seorang mahasiswa UKM  saudara Arrabe’ yang sedang menjalani pengajian di peringkat master di fakulti Sains Dan Teknologi.  Beliau telah mengalami kemalangan di Persimpngan jalan 3 pada isnin lalu dan mengalami patah pada peha kanan. Beliau telah dijadualkan akan melakukan pembedahan pada hari jumaat lepas untuk memasukkan besi sokongan pada peha beliau.

 MPP Izzudin menyerahkan surat dari pusat kesihatan UKM

 MPP Harith bersama keluarga saudara Arrabe’


Peringkat MPP , Kami telah mendapatkan surat jaminan perkhidmatan percuma daripada Pusat Kesihatan UKM. Oleh itu, dengan adanya surat jaminan tersebut, beliau  akan ditempatkan di wad kelas kedua. Selain  itu, Segala rawatan yang akan dijalani selepas ini boleh mendapatkan  surat tersebut di  Pusat Kesihatan.

Disamping itu, insurans kemalangan juga akan dipohon selepas sembuh dan keluar daripada wad daripada. Kami dibarisan Saf Kepimpinan Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia menyeru supa semua warga kampus berhati-hati ketika menunggang dan memandu kenderaan supaya dapat meneruskan perjuangan menuntu ilmu dengan lebih baik terutama ketika tarikh peperisaan akhir yang semakin hampir.

“Bersama Mahasiswa Realisasi Varsiti”


Friday 18 March 2011

UCAPAN DASAR PRESIDEN PMUKM SESI 2010/2011


UCAPAN DASAR PRESIDEN
PERSATUAN MAHASISWA UKM (PMUKM)
SESI 2010-2011


Bismillahirahmanirrahim

Yang Berbahagia
Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin
Naib Canselor UKM

Yang Berbahagia
Prof. Ir. Dr. Othman Karim
Timbalan Naib Canselor
(Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UKM

Yang Berbahagia
Prof. Dato’ Ir. Dr. Hassan Basri
Timbalan Naib Canselor
(Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa), UKM

Yang Berbahagia
Prof. Dr. Rahmah Mohamad
Timbalan Naib Canselor
(Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi), UKM

Yang Berbahagia
Prof. Dr. Saran Kaur Gill
Timbalan Naib Canselor
(Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), UKM

Pegawai-pegawai kanan, UKM
Pengetua-Pengetua kolej kediaman
Barisan Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2010-2011
Dan seterusnya hadirin yang dihormati sekalian

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Mahasiswa.
Terlebih dahulu suka untuk saya mulakan ucapan ini dengan memetik ayat 58 dalam surah An-Nisa’:


Maksud : “Sesungguhnya Tuhan menyuruhmu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Tuhan sebaik-baik yang memberi pengajaran kepada kamu. Sesungguhnya Tuhan Maha Mendengar lagi Maha Melihat”

SEKILAS 40 TAHUN UKM

Mengimbau kembali sejarah sebelum Perang Dunia Kedua, lahirnya idea penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah ekoran daripada kesedaran terhadap kedhaifan pendidikan rakyat terbanyak iaitu golongan Melayu. Menurut Mohd Ali Kamarudin, pengarang buku Sejarah Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM merupakan sebuah universiti yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Seiring dengan itu, universiti ini amat mengutamakan kursus-kursus dan penyelidikan yang secara langsung dapat memberikan faedah yang besar serta menyumbang kepada pembangunan negara. 


Merenung kembali sejarah pendidikan negara, Universiti Kebangsaan Malaysia berjaya ditubuhkan pada tanggal 18 Mei 1970. Kewujudan UKM merupakan  suatu  peristiwa  bersejarah  dalam  perkembangan sistem pendidikan negara. UKM bukan sahaja berperanan sebagai institusi pendidikan yang menyediakan pelajaran di peringkat tinggi malahan juga merupakan sebuah universiti pertama di Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai pengantar rasmi. Sebagai sebuah negara yang telah merdeka lebih sedekad serta mempunyai sistem pelajaran yang tersendiri, maka keperluan sebuah universiti yang benar-benar bercorak kebangsaan merupakan suatu cabaran yang mesti ditempuhi.

Tahun 2010, genap 40 tahun UKM ditubuhkan dan sela masa yang berlalu, telah memperlihatkan pelbagai perubahan yang dilaksanakan demi memenuhi tuntutan semasa. Pada amnya, menjana perubahan adalah sukar, bahkan menangani perubahan lebih sukar dan menyulitkan. Di universiti, perubahan membawa ironi yang tersendiri kerana kita harus mengekalkan tradisi ilmu yang merupakan asas bagi sesebuah institusi pendidikan sejak berzaman. Sesungguhnya inilah yang membezakan universiti khususnya UKM dengan institusi-institusi latihan amnya.

Selaras dengan idea dan gagasan yang diketengahkan oleh pimpinan universiti, UKM bergerak maju dalam menghadapi cabaran globalisasi. Cabaran ini memerlukan persediaan dan pelan transformasi yang terancang. Berdasarkan pelan transformasi UKM, secara amnya kita berhasrat untuk melihat UKM menjadi ikon identiti dan negara bangsa, sederap dengan universiti kebangsaan dunia. Tumpuan diberikan kepada 8 nic penyelidikan yang strategik dan bersifat multidisplin dalam usaha mencapai hasrat murni tersebut. Kriteria pemilihan nic penyelidikan dibuat berasaskan kepada nic yang mampu menggembeling kekuatan dan menyatu padu pelbagai disiplin atau bidang yang sudah mantap atau bidang baru tetapi menjadi tujahan negara dan dunia. Lapan Nic penyelidikan UKM tersebut adalah Jatidiri Kebangsaan, Negara Bangsa, Kepelbagaian Budaya & Globalisasi, Pembangunan Lestari Wilayah, Tenaga Keterbaharuan, Teknologi Kesihatan & Perubatan, Perubahan Iklim, Nanoteknologi dan Bahan Termaju, Kepelbagaian Biologi Dalam Pembangunan Bioteknologi dan Ict : Informatik Isian.

Kelima-lima  tonggak kecemerlangan institusi yang menjadi teras dalam usaha kita menuju kedewasaan pula harus digarap dan diangkat bagi menjunjung slogan “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan”.Tonggak-tonggak tersebut ialah :
i.              Governans berautonomi dan berakauntabiliti
ii.            Kepemimpinan berkaliber melalui sistem pemilihan, pemupukan, penilaian dan pembaharuan
iii.           Tenaga akademik berbudaya cemerlang dan bersikap profesional
iv.           Sistem pengajaran dan pembelajaran menghasilkan siswazah yakin dan berkompetensi global
v.            Penyelidikan dan inovasi menjana kekayaan dan kesejahteraan masyarakat.

Selain itu, peranan agenda pengantarabangsaan mahasiswa dan universiti harus diperkasa dan distrategikkan. Dogma dan kebiasaan pemikiran yang berada dalam bulatan yang sama harus diacuan semula. Pengantarabangsaan pelajar dan universiti tidak harus dilihat dalam konteks hubungan penyelidikan, akademik dan program yang bersifat formal semata-mata,  tetapi jaringan-jaringan kerjasama antara mahasiswa yang pelbagai latarbelakang dalam menyantuni kerjasama dan menghadapi isu-isu semasa harus dibentuk dan diraikan peranan mereka.

 Pada ketika ini, kekuatan dan kemampuan kita harus digarap dengan sebaiknya.  Kebebasan akademik, kedinamikan intelektual, keluasan pengajaran dan penyelidikan serta pengekalan dan pembangunan budaya bangsa harus dipelihara di institusi ini. UKM harus mencari titik keseimbangan antara teori dengan amal, sains dengan sastera dan kesejahteraan rohani dengan kemajuan material. Perlu diingat juga bahawa tanggungjawab universiti bukanlah semata-mata untuk memenuhi tuntutan keperluan tenaga mahir di pasaran sahaja, tetapi lebih penting dan besar daripada itu, ialah sebagai badan yang dapat membina pemikiran yang kritikal dan berwawasan. Dalam kata lain UKM perlu memimpin dan menawarkan gagasan, jalan dan cara bagaimana perubahan harus ditangani. Universiti seharusnya, pada ketika tertentu dan dalam isu-isu tertentu, dapat membantu masyarakat dan negara untuk membuat pilihan antara pelbagai alternatif berasaskan penyelidikan yang rapi dan meyakinkan.

Menginsafi hakikat ini, serta pada masa yang sama menyedari tanggungjawab PMUKM sebagai persatuan yang menaungi seluruh mahasiswa di perbukitan ilmu ini, kami menggariskan 4 paksi yang mendukung tema “Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti”, seperti berikut :

i.          Kelestarian agenda kebajikan mahasiswa
ii.        Kebebasan akademik dan kedinamikan intelektual
iii.       Pembangunan insan dan kepimpinan berintegriti
iv.       Keadilan sosial dan permuafakatan sejagat.

KELESTARIAN AGENDA KEBAJIKAN MAHASISWA

Kebajikan mahasiswa merupakan suatu tanggungjawab moral yang menjadi fokus PMUKM pada sesi kepimpinan kali ini. Hal ini demikian kerana pengabaian terhadap aspek kebajikan dilihat mampu menjejaskan prestasi mahasiswa dalam mengembangkan ilmu dan kemahiran. Justeru, tidak dapat tidak agenda ini perlu dilestarikan agar mahasiswa mampu menumpukan sepenuh daya usaha untuk mengukir kejayaan yang membanggakan sekaligus mengharumkan nama universiti.

Seperti yang telah dimaklumi, mahasiswa UKM terdiri daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi termasuk golongan marhaen yang perlu dikaji tentang keperluannya. Oleh yang demikian, sebarang isu yang dibangkitkan oleh mahasiswa seharusnya diberi perhatian dan disusuli dengan tindakan yang sewajarnya. Merujuk kepada dasar yang pernah diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Sri Dr. Mahathir Mohamad iaitu Telus, Cekap dan Amanah, PMUKM akan memacu transformasi ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, kurang birokrasi dan mesra mahasiswa.

PMUKM berhasrat untuk menggembleng tenaga mahasiswa dalam usaha menjayakan agenda kebajikan kerana kebajikan mahasiswa tanggungjawab bersama bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Oleh itu, kesedaran tentang perkara ini perlu digiatkan agar mahasiswa kembali berperanan untuk bersama-sama pihak pentadbiran universiti dalam merangka dan melaksana pelbagai strategi bagi menangani pelbagai isu kebajikan. Hal ini juga mampu membentuk mahasiswa menjadi insan yang cakna dan prihatin dengan isu semasa di dalam mahupun luar lingkungan kampus.

Komitmen dan kesungguhan mahasiswa dalam melaporkan aduan atau menyampaikan cadangan amat penting bagi melicinkan perjalanan pentadbiran PMUKM. Pelan tindakan yang sistematik akan dirangka bagi menyelesaikan isu dan permasalahan mahasiswa. PMUKM bercadang untuk memperkemas saluran aduan bagi memastikan masalah yang timbul dapat diselesaikan secara berkesan. Selain itu, sistem penyampaian maklumat akan diperkasakan bagi mempertingkatkan akses mahasiswa terhadap perkembangan semasa.
           
Selain itu, PMUKM bercadang untuk memperkukuhkan jaringan perhubungan bagi mengoptimumkan fungsi selaku entiti utama yang bertanggungjawab menjaga kebajikan mahasiswa. Hubungan erat dan kerjasama strategik harus dibina dengan persatuan-persatuan mahasiswa termasuk JAKSA, Persatuan Mahasiswa Fakulti, Persatuan Anak Negeri dan sebagainya bagi mewujudkan suatu bentuk usahasama agar isu kebajikan mampu diselesaikan secara kolektif. Justeru, sistem urustadbir yang profesional dilihat menjadi tonggak utama dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mahasiswa.

Antara isu mahasiswa yang menjadi tumpuan utama PMUKM adalah berkenaan keperluan asas seperti air. Solusi terbaik yang ditemui bagi menyelesaikan masalah tersebut adalah dengan menyediakan sistem perpaipan yang lebih baik, selain daripada pemupukan sikap berhemat dalam kalangan mahasiswa. Selain itu, kawalan keselamatan di peringkat universiti perlu dipertingkatkan khususnya di kawasan yang berisiko berlaku jenayah melalui pelbagai mekanisme bersepadu dengan kerjasama bahagian keselamatan. Mahasiswa  perlu mengambil langkah keselamatan dan berhati-hati untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah. Inisiatif ini memerlukan iltizam semua pihak bagi membentuk suatu sinergi yang utuh ke arah mewujudkan kampus yang selamat dan sejahtera. Usaha untuk membentuk nilai keinsanan juga harus diambil berat kerana individu yang sejahtera jiwanya akan membentuk komuniti dan persekitaran yang kondusif.

Mutakhir ini, kos sara hidup dilihat kian meningkat. Hal ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada mahasiswa. Justeru, kami memohon jasa baik pihak universiti untuk memastikan yuran yang dikenakan kepada mahasiswa sentiasa berada pada tahap yang tidak membebankan di samping tidak wujud caj-caj tambahan yang mengelirukan. Pembayaran PTPTN dan biasiswa juga perlu mengikut jadual bagi memastikan mahasiswa tidak mengalami masalah kewangan pada awal semester. Selain itu, mahasiswa juga harus mengambil berat berkaitan isu kewangan semasa agar sebarang masalah yang timbul dapat diatasi secara harmoni dan berkesan.

Pada sesi kepimpinan kali ini juga, PMUKM bercadang untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau harga makanan dan kawalan kebersihan kafetaria yang dianggotai oleh wakil PMUKM dan pihak pengurusan universiti. Ianya dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti kafetaria seterusnya memastikan warga kampus berasa selesa dengan perkhidmatan yang diberikan. Isu mahasiswa UKM cawangan kampus Kuala Lumpur dan Cheras juga akan difokuskan bagi menjamin kelestarian agenda kebajikan secara lebih menyeluruh.

Selain itu, PMUKM berasa bangga kerana UKM sentiasa menitikberatkan aspek pembangunan prasarana dan kemudahan universiti. Usaha ini perlu diteruskan agar kualiti penyelidikan serta pengajaran dan pembelajaran mampu ditingkatkan setanding dengan universiti terkemuka dunia. Kemudahan yang canggih dan terkini mampu meningkatkan daya saing di samping menggalakkan lagi proses pencambahan ilmu seiring dengan halatuju universiti yang sedang berada pada landasan terbaik untuk mencipta masa depan yang lebih gemilang.

KEBEBASAN AKADEMIK DAN KEDINAMIKAN INTELEKTUAL

“Belajar sambil mencabar. Pelajaran tidak terjuntai seperti pisang.  Bangsamu tidakkan maju tanpa pemimpin berpengalaman dan terpelajar”
-Prof. Diraja Ungku Aziz-

Kebebasan akademik adalah suatu keperluan sesuai dengan status UKM yang menjadi antara universiti penyelidikan di Malaysia.  Berdasarkan penghayatan terhadap konsep kebebasan akademik, mahasiswa perlu diberi ruang untuk mengembangkan idea dan potensi mereka melalui wahana penyelidikan, pandangan yang bernas dan penulisan yang berkualiti. Kita seharusnya memahami bahawa kebebasan akademik menjadi salah satu faktor kepada peningkatan ranking universiti.  Menurut Utusan Malaysia bertarikh 3 November 2010, UKM menduduki tangga kelima dalam kedudukan universiti terbaik Asia Tenggara. Jika konsep kebebasan akademik ini diterjemahkan dalam kerangka yang lebih progresif , sudah tentu universiti kita berpotensi untuk berada dalam kedudukan yang lebih tinggi, lantas melonjakkan imej dan nama UKM di persada antarabangsa.

Tidak dapat dinafikan, manfaat konsep kebebasan akademik itu perlu disebarluaskan ke seluruh peringkat masyarakat, bukan sahaja terhad terhadap warga di universiti bahkan turut mengakar kepada masyarakat luar.  Hal ini dapat diterjemahkan melalui  pengaplikasian hasil kajian warga universiti dalam semua bidang dengan kefahaman bahawa mereka tidak hanya memfokuskan untuk memperoleh sijil dan kenaikan pangkat semata-mata. Kita harus jelas bahawa sumbangan itu tidak sewajarnya tertumpu kepada perkara yang bersifat material sahaja, bahkan sumbangan-sumbangan lain seperti idea-idea pembaharuan dan penambahbaikan sistem nilai juga harus dilihat sebagai suatu sumbangan yang sama penting. Oleh itu, kita perlu memasyarakatkan hasil penemuan yang bermanfaat di universiti untuk diimplimentasikan kepada masyarakat amnya, demi menunaikan tanggungjawab sebagai institusi yang merakyatkan ilmu pengetahuan.

Atas kefahaman ini, kami di peringkat PMUKM berpendapat konsep kebebasan akademik yang progresif wajar diketengahkan agar pembudayaan ilmu itu tidak terhenti hanya di bilik kuliah semata-mata.  Berasaskan nilai kebenaran, kekuatan hujah dan kejujuran dalam penyelidikan, hasil kajian haruslah bersandarkan kepada fakta dan diterjemahkan secara telus tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur luar.  Justeru, ilmu itu harus disebarkan berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w iaitu ‘sampaikanlah daripadaku walau satu ayat’. Kepelbagaian dan perbezaan pandangan harus diraikan, dengan syarat semua pihak menghayati prinsip keilmuan dan kebenaran sejagat. Konsep kebebasan akademik juga boleh difahami dari sudut pemberian kebebasan kepada mahasiswa untuk menjalankan aktiviti dan mengembangkan kreativiti. Dalam hal ini, kerenah birokrasi perlu dikurangkan.  Pantauan di pihak pentadbiran juga diperlukan bagi memastikan program tersebut selaras dengan kehendak Falsafah Universiti.

Di samping itu, konsep kebebasan akademik perlu dilaksanakan bersama-sama konsep kedinamikan intelektual bagi mencetuskan momentum yang lebih besar. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan dinamik bermaksud bertenaga dan berkekuatan serta mampu membuat penyesuaian serta mener­bitkan pembaharuan dan kemajuan. Keintelektualan pula bermaksud perihal (kemampuan) menggunakan intelek dan keintelektualan berkait rapat dengan kesarjanaan pengetahuan.  Oleh yang demikian, kami menyokong konsep kedinamikan intelektual iaitu pengupayaan ilmu (intelektual) untuk disesuaikan dengan suasana persekitaran dan tidak terhad pengaplikasiannya.

“We cannot always build the future for our youth, but we can build our youth for the future.”

Pembelajaran sepanjang hayat harus ditekankan dalam usaha membantu universiti melahirkan mahasiswa yang berdaya saing di peringkat global. Maka, agenda penghakupayaan mahasiswa dalam pelbagai bidang sangat penting. Mahasiswa sewajarnya berupaya untuk mengembangkan ilmu dan kemahiran bagi menangani tuntutan dan cabaran semasa dan bukan sekadar menggunakan ilmu untuk mengisi jawapan di dalam kertas peperiksaan. Perubahan deras yang berlaku dalam dunia sains dan teknologi beserta perubahan pesat dalam urusan keilmuan dan tuntutan masyarakat menggesa supaya UKM menghasilkan graduan yang bukan sahaja berketrampilan dan dinamis, malah mempunyai keluwesan dan kecerdasan intelektual, boleh berfikir secara kritis dan lateral, berwibawa dan berupaya menggunakan imaginasi dan kefahamannya apabila diperlukan.

PMUKM turut menyokong usaha pembelajaran berpusatkan pelajaratau student centered learning kerana perkongsian ilmu itu seharusnya bukan bersifat sehala sahaja tetapi bersifat dua hala.  Nilai keintelektualan mahasiswa tidak harus diukur melalui kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi juga merangkumi keupayaan mahasiswa tersebut mengaplikasikan ilmu yang dipelajarinya dalam kehidupan mereka. Selain itu, idea untuk melahirkan sarjana-sarjana yang menguasai pelbagai disiplin ilmu harus disokong dan diterjemahkan dalam pelan pembangunan universiti.

PEMBANGUNAN INSAN DAN KEPIMPINAN BERINTEGRITI

Kepimpinan kali ini meletakkan paksi pembangunan insan dan kepimpinan berintegriti sebagai dasar ke arah melahirkan mahasiswa yang mempunyai pelbagai kepakaran dan kemahiran generik sejajar dengan matlamat pendidikan negara. Usaha ini juga bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang memiliki jati diri yang unggul dan menjadi ikon di mata  masyarakat khususnya generasi muda. Pembangunan insan didefinisikan sebagai usaha berterusan memupuk dan mengembangkan potensi dalam diri manusia supaya subur dan kental keimanannya serta berupaya dalam menyumbang ke arah kebaikan dan kesejahteraan diri, masyarakat dan juga alam sejagat.

Setiap insan memiliki potensi tersendiri yang boleh digilap dan diserlahkan. Oleh itu,  berteraskan garis panduan yang telah digarapkan dalam setiap agama yang dianuti oleh setiap kaum di perbukitan ilmu UKM yang dicintai ini, kepimpinan kami mensasarkan seluruh mahasiswa agar menerapkan nilai moral yang tinggi dan akhlak mulia sebagai corak keperibadian diri tanpa terpengaruh dengan budaya dan gejala yang boleh menjatuhkan kredibiliti dan keintelektualan mahasiswa itu sendiri.

Di samping itu, dalam misi untuk mencapai hasrat murni ini, kami akan bersama-sama memacu mahasiswa dalam mencorakkan personaliti yang disematkan dengan jati diri kebangsaan dan dipayungi oleh budaya ketimuran baik dari segi pemakaian, pergaulan, kesopanan dan adat yang diamalkan. Oleh yang demikian, paksi yang diketengahkan ini cukup lengkap dalam melahirkan mahasiswa yang gemilang selari dengan matlamat pendidikan UKM iaitu beretika dan berjati diri kebangsaan, berkepimpinan dan berkeyakinan.

Sebagai modus operandi untuk mencapai matlamat ini, kami di barisan PMUKM merangka penjenamaan semula PMUKM dari sudut dalaman dan luaran. Dari sudut luaran, kami berhasrat untuk menukarkan nama PMUKM kepada MPMUKM iaitu Majlis Perwakilan Mahasiswa UKM bagi mengangkat martabat entiti ini selari dengan Majlis Perwakilan Mahasiswa di universiti yang lain. Hal ini juga termasuk pembentukan logo baru yang mencerminkan imej UKM, pengenalan sistem biro serta penstrukturan manual pentadbiran dan kewangan MPMUKM. Langkah ini dilihat membawa maksud yang lebih signifikan dari segi pengkhususan fungsi sebagai persatuan mahasiswa induk.

Dari sudut dalaman, kami pihak PMUKM bercadang memperkenalkan sebuah kepimpinan berteraskan nilai integriti melalui penubuhan mini parlimen mahasiswa yang bersifat terbuka. Sistem mini parlimen mahasiswa bukan sahaja terdiri daripada ahli Majlis Perwakilan Pelajar sahaja, malah termasuk wakil daripada Persatuan Mahasiswa Fakulti, Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i Kolej, Persatuan Anak Negeri, wakil mahasiswa antarabangsa sebagai pemerhati dalam proses persidangan PMUKM untuk memastikan perbincangan PMUKM lebih telus dan profesional.

Pembawaan kepimpinan sesi ini dalam menjana kepimpinan berkaliber dipayungi oleh 3 tonggak utama iaitu mahasiswa untuk mahasiswa, mahasiswa untuk masyarakat dan juga mahasiswa untuk negara. Bagi elemen mahasiswa untuk mahasiswa, barisan kepimpinan akan bersama-sama mahasiswa untuk menjadi timbal balik kepada pentadbiran universiti di samping menjadi agen penerangan antara mahasiswa dan pihak pentadbiran universiti bagi  mewujudkan persefahaman antara kedua belah pihak. Selain itu, bagi elemen mahasiswa untuk masyarakat, kami akan merangka pelbagai program yang mampu menerapkan aspek tanggungjawab sosial bagi mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat sebagai persediaan sebelum mahasiswa terjun ke lapangan luar kampus. Seterusnya, bagi merealisasikan hasrat mahasiswa untuk negara, kami akan responsif dalam menyatakan pendirian mahasiswa terhadap dasar negara bagi memastikan pentadbiran negara berjalan seperti sepatutnya.


KEADILAN SOSIAL DAN PERMUAFAKATAN SEJAGAT

Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia yang menjangkau usia 41 tahun seharusnya menggambarkan sebuah imej kebangsaaan yang mewakili gambaran besar masyarakat Malaysia itu sendiri. Imej sebuah universiti kebangsaan juga menjadi suatu tanda aras kepada umum mengenai sejauh mana keberjayaan kerangka perpaduan dan kesepaduan yang wujud  di kalangan mahasiswa universiti.

Keadilan sosial menjadi  suatu asas dalam usaha  menyemai  persefahaman dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa berteraskan prinsip memenuhi keperluan demi kepentingan bersama. Keadilan sosial menitikberatkan kesaksamaan dalam pemberian hak tanpa mengira batasan tertentu, termasuklah dalam ruang lingkup perkhidmatan. Pihak PMUKM yakin sekiranya konsep ini terlaksana dengan baik, universiti kita mampu mewujudkan  perpaduan yang mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama.

Konotasi permuafakatan daripada Kamus Dewan Edisi Keempat, memberi takrifan kepada  persetujuan dan persepakatan. Permuafakatan sejagat bermaksud persetujuan ataupun persepakatan terhadap perkara-perkara yang menjadi titik persamaan oleh sesuatu masyarakat dan dalam konteks ini  masyarakat tersebut merujuk kepada masyarakat kampus.

 “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Peribahasa ini sesuai untuk menggambarkan betapa pentingnya muafakat sebagai alat penyatuan tanpa mengira batasan kaum, ideologi dan latar belakang peribadi. Justeru, pihak PMUKM berusaha untuk mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat mahasiswa dengan menumpukan kepada titik persamaan dan meraikan perbezaan yang wujud antara mereka.

Antara perkara yang boleh diusahakan dalam memanifestasikan kedua-dua maksud di atas ialah meningkatkan usaha dalam memupuk budaya Malaysia berasaskan nilai moral dan kepelbagaian budaya yang boleh diterima semua kaum. PMUKM perlu menggiatkan dialog dialog dan rundingan antara peradaban bagi mengukuhkan persefahaman. Pihak PMUKM turut melihat perlunya suatu usaha dalam menjamin peluang dan hak keadilan mahasiswa dalam membangunkan diri dan masyarakat. Justeru, batasan dan had yang menjadi limitasi dan penghalang perlulah diselesaikan terlebih dahulu agar harapan untuk mewujudkan permuafakatan yang sebenar dapat direalisasikan dengan jayanya. Oleh yang demikian, konsep keadilan sosial dan pemuafakatan sejagat ini adalah relevan.

Merujuk kepada tema yang dibawakan, kami sangat berharap agar wujudnya kebersamaan mahasiswa dan PMUKM dalam merealisasikan fungsi UKM secara sepenuhnya sebagai institusi untuk mencari kebenaran. Berbekalkan semangat anak muda dan kepercayaan yang diberikan, kami selaku barisan kepimpinan PMUKM pada sesi 2010-2011  menyeru kepada semua pihak agar dapat meningkatkan kefahaman dan keserasian berteraskan prinsip keadilan. Kita semua perlu bergerak seiringan dalam menyerlahkan kredibiliti dan keunggulan UKM sebagai sebuah universiti kebangsaan yang benar-benar berupaya mengilham harapan dan mencipta masa depan yang lebih baik. Perjuangan yang kita warisi ini merupakan perjuangan yang telah dimulakan oleh insan yang terdahulu. Justeru, ianya perlu diteruskan dalam rangka untuk mengangkat martabat negara di persada dunia.

PENGHARGAAN
Terima kasih kepada Y.Bhg Tan Sri Naib Canselor dan semua warga kampus. Pihak PMUKM berharap agar gagasan dan perancangan ini dapat direalisasikan demi kebaikan semua.

Saya akhiri ucapan ini dengan serangkap pantun :

Bersahsiah tinggi berjiwa kekal,
Warga berbudi berakhlak budiman,
Paduan ilmu, iman dan amal,
Menjadi panduan insan idaman.

Sekian, terima kasih.

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | free samples without surveys