Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan Salam Hari Malaysia
Alhamdulillah bersyukur kita ke  hadrat Illahi, kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat  menyambut Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia esok  dengan penuh  kebanggaan. 
MEMAKNAI HARI MALAYSIA
Tanggal  16 September 1963, telah terbentuk sebuah negara baru di peta dunia  yang diberi nama ‘Malaysia’ ; hasil gabungan negeri-negeri Tanah Melayu,  Sabah, Sarawak dan Singapura. 
Bertitik mula daripada  pembentukan Malaysia yang berdaulat, kini negara kita pesat membangun  dan telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai salah sebuah negara yang  maju di kalangan negara-negara membangun.
Kemerdekaan yang disambut juga seharusnya bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang dan menyertai perarakan Merdeka.
Kemerdekaan yang diburu adalah  kebebasan hati dan minda. Seharusnya masyarakat dididik dan dipupuk  untuk melahirkan jiwa yang merdeka. Ia juga harus dihadami dan  merangkumi segala aspek kehidupan, politik, ekonomi, moral dan  masyarakat. 
Maka dengan itu, marilah kita  bersama-sama memaknai Hari Malaysia ini dengan memerdekakan sepenuh jiwa  kita dari cengkaman dan kezaliman warisan penjajah demi membina negara  yang aman harmoni antara semua bangsa. 
INTERGRITI ASAS PEMBENTUKAN NEGARA BERDAULAT
Agenda  integriti yang digariskan di dalam Pelan Integriti Nasional (PIN) pada  23 April 2004 dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 4 Mac  2004 secara signifikannya menggambarkan usaha serius kerajaan untuk  membentuk nilai integriti di peringkat akar umbi pentadbiran.
Dua prinsip asas nilai integriti  untuk para pentadbir  dan kakitangan awam capai ialah pemantapan  prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan tadbir urus terbaik, dan  peningkatan integriti institusi pentadbiran jabatan masing-masing.
Integriti secara umumnya merujuk  kepada kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada  individu dan organisasi. Integriti berkaitan rapat dengan etika. Dalam  konteks semasa, integriti berlandaskan etika dalam tindakan sehari-hari.
Budaya etika dan integriti yang  giat dipromosikan di segenap peringkat pentadbiran kakitangan awam  adalah selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020  iaitu untuk  membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya,  dengan  para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang  utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.
Seruan kepada semua pihak  khususnya bagi warga Universiti tidak kira di peringkat mahasiswa  ataupun kakitangan Universiti bersama-sama menyahut pembudayaan  integriti dan menyemai di peringkat urus tadbir kerja kita seharian.
APLIKASI NILAI-NILAI TERAS INTEGRITI AKADEMIK
Di  kesempatan ini juga suka untuk saya tekankan kembali enam (6) Nilai  Teras Integriti Akademik yang terkandung di dalam Garis Panduan  Integriti Akademik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi  Malaysia; yang wajar diberi perhatian oleh semua pihak khususnya yang  berada di bidang akademik di bumi perbukitan ilmu di UKM, iaitu:
(i) Amanah - Amanah merujuk  kepada kesungguhan ahli akademik dalam memenuhi kepercayaan, kewajipan  dan tanggungjawab yang diberikan. Amanah akademik merangkumi  peningakatan ilmu, penyampaian yang berkesan, dan memberi khidmat serta  pandangan tanpa rasa takut atau mengharapkan pujian. Ahli akademik  melaksanakan tugas dengan tanggungjawab dan menghayati skop kerja serta  komited terhadap tuntutannya. Ahli akademik juga tidak terlibat dalam  rasuah dan tidak menyalahguna kuasa.
(ii) Bijaksana – Identiti ahli  akademik yang cemerlang tergambar menerusi kebijaksanaannya dapat  menggunakan akal budi dalam menjalankan tugas agar matlamat tercapai. Ia  terangkai daripada pengalaman, ilmu dan kemahiran yang menjadikan ahli  akademik itu seorang budiman.
(iii) Akauntabiliti - Ahli  akademik berupaya dan bersedia dipertanggungjawabkan di atas semua  tindakannya dengan penjelasan dan justifikasi yang rasional dan  objektif.
(iv) Hormat – Konsep ‘Hormat’  itu menerima kepelbagaian sudut pandangan dan menghargai semua bentuk  sumbangan yang mempertingkat kualiti akademik. Berbahasa dan kesopanan  ditekankan dalam sebarang hubungan kerja, tanpa mengira status, umur dan  gender.
(v) Telus - Tidak ada tindakan  akademik yang perlu disembunyikan daripada pihak berkepentingan  (stakeholders). Setiap keputusan yang dicapai adalah menerusi proses  yang jelas strukturnya dan dapat dibuktikan kesahihannya.
(vi) Adil - Ahli akademik tidak  wajar berprasangka, tidak berat sebelah dan tidak memilih kasih dalam  menjalankan tugas.Ahli akademik juga wajar membahagikan masa dan  prihatin serta secara wajar dan sesuai kepada semua yang memerlukan  kepakarannya.
BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI
Barisan  Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) pada sesi kali ini komited untuk  bersama-sama mahasiswa UKM dalam menjaya dan merealisasi visi, misi dan  wawasan UKM. Berlandaskan Falsafah UKM yang telah menyebut  “Paduan  antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan  antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu,  proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti” , maka gagasan ‘Realisasi Varsiti’ dilihat selari dengan pembawakan penghayatan Falsafah UKM. 
Berteraskan intisari paduan  ILMU,IMAN dan AMAL , pembawakan PMUKM sesi ini juga dilihat semakin  mendapat respon yang baik di kalangan kakitangan Universiti dan  mahasiswa UKM sendiri.
Manakala sikap kebersamaan di  kalangan mahasiswa dalam merealisasi dan menjayakan visi, misi dan  gagasan varsiti juga dilihat bakal menjadi kunci kepada kejayaan  mahasiswa. Usaha-usaha yang dilakukan oleh PMUKM sebagai badan induk  persatuan mahasiswa dilihat tidak akan mendatangkan hasil sekiranya ada  pihak-pihak yang tidak memberi kerjasama dalam menyokong dan mendokong  aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Justeru di kesempatan sempena  Hari Malaysia ini, saya sekali lagi selaku Presiden Persatuan Mahasiswa  UKM sesi 2010-2011 ingin menyeru rakan-rakan bersama-sama menghayati  erti sebenar Hari Kemerdekaan. 
Semoga ulang tahun kemerdekaan  dan hari Malaysia ini bakal membawa makna yang mendalam kepada semua  warga kampus dan juga rakyat Malaysia amnya.
Selamat Hari Malaysia.
LT M Ahmad Muzzammil bin Muhd Hairi
Presiden 
Persatuan Mahasiswa UKM
Sesi 2010-2011



08:09
Muhammad Harith Abdul Kadir
