Friday, 16 September 2011

PRESIDEN PMUKM : Memaknai Hari Malaysia - 16 September

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan Salam Hari Malaysia


Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Illahi, kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat menyambut Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia esok dengan penuh kebanggaan.

MEMAKNAI HARI MALAYSIA
Tanggal 16 September 1963, telah terbentuk sebuah negara baru di peta dunia yang diberi nama ‘Malaysia’ ; hasil gabungan negeri-negeri Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Bertitik mula daripada pembentukan Malaysia yang berdaulat, kini negara kita pesat membangun dan telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai salah sebuah negara yang maju di kalangan negara-negara membangun.

Kemerdekaan yang disambut juga seharusnya bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang dan menyertai perarakan Merdeka.

Kemerdekaan yang diburu adalah kebebasan hati dan minda. Seharusnya masyarakat dididik dan dipupuk untuk melahirkan jiwa yang merdeka. Ia juga harus dihadami dan merangkumi segala aspek kehidupan, politik, ekonomi, moral dan masyarakat.

Maka dengan itu, marilah kita bersama-sama memaknai Hari Malaysia ini dengan memerdekakan sepenuh jiwa kita dari cengkaman dan kezaliman warisan penjajah demi membina negara yang aman harmoni antara semua bangsa.

INTERGRITI ASAS PEMBENTUKAN NEGARA BERDAULAT
Agenda integriti yang digariskan di dalam Pelan Integriti Nasional (PIN) pada 23 April 2004 dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 4 Mac 2004 secara signifikannya menggambarkan usaha serius kerajaan untuk membentuk nilai integriti di peringkat akar umbi pentadbiran.

Dua prinsip asas nilai integriti untuk para pentadbir dan kakitangan awam capai ialah pemantapan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan tadbir urus terbaik, dan peningkatan integriti institusi pentadbiran jabatan masing-masing.

Integriti secara umumnya merujuk kepada kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Integriti berkaitan rapat dengan etika. Dalam konteks semasa, integriti berlandaskan etika dalam tindakan sehari-hari.

Budaya etika dan integriti yang giat dipromosikan di segenap peringkat pentadbiran kakitangan awam adalah selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.

Seruan kepada semua pihak khususnya bagi warga Universiti tidak kira di peringkat mahasiswa ataupun kakitangan Universiti bersama-sama menyahut pembudayaan integriti dan menyemai di peringkat urus tadbir kerja kita seharian.

APLIKASI NILAI-NILAI TERAS INTEGRITI AKADEMIK
Di kesempatan ini juga suka untuk saya tekankan kembali enam (6) Nilai Teras Integriti Akademik yang terkandung di dalam Garis Panduan Integriti Akademik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia; yang wajar diberi perhatian oleh semua pihak khususnya yang berada di bidang akademik di bumi perbukitan ilmu di UKM, iaitu:

(i) Amanah - Amanah merujuk kepada kesungguhan ahli akademik dalam memenuhi kepercayaan, kewajipan dan tanggungjawab yang diberikan. Amanah akademik merangkumi peningakatan ilmu, penyampaian yang berkesan, dan memberi khidmat serta pandangan tanpa rasa takut atau mengharapkan pujian. Ahli akademik melaksanakan tugas dengan tanggungjawab dan menghayati skop kerja serta komited terhadap tuntutannya. Ahli akademik juga tidak terlibat dalam rasuah dan tidak menyalahguna kuasa.

(ii) Bijaksana – Identiti ahli akademik yang cemerlang tergambar menerusi kebijaksanaannya dapat menggunakan akal budi dalam menjalankan tugas agar matlamat tercapai. Ia terangkai daripada pengalaman, ilmu dan kemahiran yang menjadikan ahli akademik itu seorang budiman.

(iii) Akauntabiliti - Ahli akademik berupaya dan bersedia dipertanggungjawabkan di atas semua tindakannya dengan penjelasan dan justifikasi yang rasional dan objektif.

(iv) Hormat – Konsep ‘Hormat’ itu menerima kepelbagaian sudut pandangan dan menghargai semua bentuk sumbangan yang mempertingkat kualiti akademik. Berbahasa dan kesopanan ditekankan dalam sebarang hubungan kerja, tanpa mengira status, umur dan gender.

(v) Telus - Tidak ada tindakan akademik yang perlu disembunyikan daripada pihak berkepentingan (stakeholders). Setiap keputusan yang dicapai adalah menerusi proses yang jelas strukturnya dan dapat dibuktikan kesahihannya.

(vi) Adil - Ahli akademik tidak wajar berprasangka, tidak berat sebelah dan tidak memilih kasih dalam menjalankan tugas.Ahli akademik juga wajar membahagikan masa dan prihatin serta secara wajar dan sesuai kepada semua yang memerlukan kepakarannya.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI
Barisan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) pada sesi kali ini komited untuk bersama-sama mahasiswa UKM dalam menjaya dan merealisasi visi, misi dan wawasan UKM. Berlandaskan Falsafah UKM yang telah menyebut  “Paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti” , maka gagasan ‘Realisasi Varsiti’ dilihat selari dengan pembawakan penghayatan Falsafah UKM.

Berteraskan intisari paduan ILMU,IMAN dan AMAL , pembawakan PMUKM sesi ini juga dilihat semakin mendapat respon yang baik di kalangan kakitangan Universiti dan mahasiswa UKM sendiri.

Manakala sikap kebersamaan di kalangan mahasiswa dalam merealisasi dan menjayakan visi, misi dan gagasan varsiti juga dilihat bakal menjadi kunci kepada kejayaan mahasiswa. Usaha-usaha yang dilakukan oleh PMUKM sebagai badan induk persatuan mahasiswa dilihat tidak akan mendatangkan hasil sekiranya ada pihak-pihak yang tidak memberi kerjasama dalam menyokong dan mendokong aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Justeru di kesempatan sempena Hari Malaysia ini, saya sekali lagi selaku Presiden Persatuan Mahasiswa UKM sesi 2010-2011 ingin menyeru rakan-rakan bersama-sama menghayati erti sebenar Hari Kemerdekaan.

Semoga ulang tahun kemerdekaan dan hari Malaysia ini bakal membawa makna yang mendalam kepada semua warga kampus dan juga rakyat Malaysia amnya.

Selamat Hari Malaysia.


LT M Ahmad Muzzammil bin Muhd Hairi
Presiden 
Persatuan Mahasiswa UKM
Sesi 2010-2011

1 comments:

Abu Idris said...

arrayah.info - Hari Malaysia/Hari Kemerdekaan/Hari Kebangsaan : Hari Penerus Pemecah-Belah Kesatuan Umat Islam

Post a Comment

 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | free samples without surveys